Runtuhan tebing, dinding longkang di Bandar Baru Semariang akan segera dibaik pulih — Dr Abdul Rahman Junaidi

Keadaan runtuhan di tebing longkang tersebut.

KUCHING, 8 Nov: Runtuhan tebing dan dinding longkang di Taman Alam Oasis, Bandar Baru Semariang akan segera dibaik pulih, kata Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu berkata pihak DBKU bersama konsultan dan beberapa agensi bertanggungjawab kini sedang mencari jalan untuk menyelasaikan masalah tersebut.

Ini kerana, longkang tersebut difahamkan bersambung dengan Sungai Sarawak dan runtuhan dinding tersebut adalah disebabkan hakisan disebabkan berlakunya air pasang.


“Parit ini bersambung dengan Sungai Sarawak dan apabila air pasang, maka limpahan air akan masuk juga ke sini sehingga menyebabkan hakisan (dinding).

“Sehubungan itu, kita perlu melakukan sesuatu supaya kadar hakisan di tebing longkang ini dapat ditanggani sebaik mungkin.

“Perbincangan bersama pihak konsultan dan jurutera DBKU sebentar tadi telah menemui beberapa pendekatan jangka panjang untuk menangani masalah ini,” katanya semasa ditemui pemberita selepas meninjau runtuhan tersebut hari ini.

Menurutnya, dinding longkang yang runtuh adalah berukuran sekitar 60 meter panjang.

“Kejadian berlaku pada malam Sabtu (6 Nov) sekitar jam 9 malam dan pihak Sarawak Energy Berhad telah bertindak cepat mengatur tiang dan kabel elektrik yang terjejas.

“Manakala DBKU juga segera memasang plastik di permukaan tempat yang runtuh untuk mengelakkan hakisan tanah berlaku lagi,” katanya.

Difahamkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak juga hadir di lokasi kejadian dengan turut memasang pita keselamatan di kawasan runtuhan.

“Kita mohon agar penduduk di sini elakkan menggunakan laluan ini memandangkan ini bukan juga laluan utama dan kepada ibu bapa juga diminta pantau anak-anak agar tidak bermain di sini.

“Kita akan berusaha secepat mungkin membaiki runtuhan ini dan kita mohon kerjasama khususnya dari semua penduduk di sini untuk menjaga keselamatan masing-masing terutamanya ketika berada berdekatan kawasan ini,” ujarnya. — DayakDaily