KUCHING, 17 Julai: Siasatan menyeluruh akan dilakukan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berhubung kejadian tanah runtuh yang mengorbankan satu nyawa di Jalan Batu Kitang lewat malam tadi.
Menurut Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang, pihak Lembaga Air Kuching (LAK) turut mengadakan siasatan kerana kejadian tersebut telah mengakibatkan satu saluran paip bocor.
‘Pihak JKR sudah berada di tempat kejadian pagi tadi, menyiasat punca kejadian dan melakukan kerja baik pulih dengan segera.
“Kita tunggu siasatan JKR dan LAK, ia akan mengambil masa untuk mengenal pasti punca runtuhan,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin(PPV) Dewan Semeba hari ini.
Tambah Lo yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan(MPP), kebocoran paip di kawasan runtuhan telah mengakibatkan beberapa kawasan di Kuching mengalami gangguan bekalan air.
Pada kejadian itu, seorang lelaki warga emas disahkan meninggal dunia.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata mangsa, Chai Kiah Fah berusia 63 tahun dan semasa kejadian dikatakan memandu sebuah van.
Van mangsa dilihat di dalam runtuhan tersebut oleh orang awam yang kemudian terus melaporkan kepada JBPM pada jam 12.39 tengah malam.
Namun struktur tanah tidak stabil dan masih berlaku runtuhan menyukarkan operasi menyelamat dilakukan.
Mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri berjaya dikeluarkan dari dalam van tersebut pada jam 1.59 pagi. — DayakDaily