Kemalangan berantai di Bintulu

Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan tersebut.

Oleh Juetila Ozzy

BINTULU, 17 Julai: Kemalangan berantai melibatkan beberapa buah kenderaan dilaporkan berlaku di jalan raya berhampiran lampu isyarat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Batu 5 Bintulu di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan berlaku sekitar jam 10.53 pagi tadi.


Jelasnya kemalangan melibatkan beberapa kenderaan berat dan persendirian.

“Kemalangan ini melibatkan dua buah treler, tiga buah kenderaan pacuan empat roda (4wd) dan empat buah kereta.

“Kemalangan tersebut juga melibatkan tiga orang mangsa mengalami cedera ringan dan telah dihantar ke Hospital Bintulu dimana dua mangsa dihantar menggunakan EMRS dan seorang mangsa menggunakan ambulan Hospital Bintulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kemalangan berantai tersebut mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk di Bintulu.

Anggota dari Balai Bomba Bintulu diketuai Pegawai Bomba Kanan II Eric Unyi hadir di lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.

Setakat berita ini ditulis difahamkan kesemua mangsa yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan Hospital Bintulu.

Difahamkan juga, kemalangan telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Punca kemalangan masih dalam siasatan. — DayakDaily