Rundi: 5 Projek Rakyat atasi masalah bekalan air di Selalang

Salah seorang penduduk Kampung Hilir (kanan) gembira setelah rumahnya disambung dengan bekalan air bersih.

KUCHING, 21 Julai: Lebih kurang 2,500 penduduk di kawasan Selalang, Sarikei bakal menikmati bekalan air yang lebih baik dengan pelaksanaan lima Projek Rakyat yang telah diluluskan kerajaan Sarawak.

Kawasan Selalang yang terletak di bawah kawasan Parlimen Sarikei dan kawasan DUN Repok seringkali mengalami gangguan bekalan air.

Justeru itu, lima Projek Rakyat dengan jumlah peruntukan RM2,067,599 telah dilaksanakan bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan air.


Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi berharap Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dapat memastikan semua projek yang telah dirancang oleh kerajaan negeri siap pada masa yang ditetapkan.

“Ini agar matlamat dan visi untuk membekalkan bekalan air 100 peratus akan tercapai menjelang tahun 2025 kelak.

“Adalah menjadi tanggungjawab dan amanah Kementerian Utiliti dan JBALB untuk merealisasikan matlamat berkenaan,” dedah Rundi menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Projek Rakyat merupakan usaha berterusan kerajaan Sarawak untuk keselasaan penduduk.

Kawasan Selalang merangkumi Kerubung, Kampung Baru, Kampung Hilir dan Kampung Bunga Tanjung. — DayakDaily