Misteri kehilangan lelaki lakukan aktiviti paranormal terungkai, mangsa ditemui mati

Anggota bomba membawa mayat mangsa ke jeti Pasar Saratok.

– oleh Dean Adam

SARATOK, Okt 9: Misteri kehilangan seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar rumah dipercayai untuk melakukan aktiviti mengesan paranormal sejak Ahad lepas terungkai selepas mangsa ditemui mati di Sungai Engkabang di sini hari ini.

Mangsa, Junaidy Lunsa Dugat, 49, ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa oleh ahli keluarganya kira-kira pukul 11.57 pagi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Kho Boo Jang berkata, mangsa berjaya dijumpai dalam jarak kira-kira 200 meter ke hilir dari lokasi jejak kaki mangsa ditemui sebelum itu.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Pasar Saratok menggunakan bot bomba.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.14 petang,” katanya di sini hari ini.

DayakDaily telah melaporkan seorang lelaki dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar menjalankan aktiviti paranormal atau memburu hantu di sekitar kawasan hutan berhampiran Sungai Engkabang di sini.

Mangsa dilaporkan hilang selepas keluar rumah pada pukul 4.30 pagi.

Bagaimanapun, sehingga pukul 1.55 petang semalam mangsa masih tidak dikesan dan tidak pulang ke rumahnya.

Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.58 petang.

Jelasnya, sejurus menerima laporan mengenai insiden tersebut, sepasukan anggota bomba diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Operasi awal menemui mangsa ada meninggalkan jejak terakhir di tepi sungai, namun belum dipastikan sama ada mangsa lemas atau hilang di hutan.

Pencarian penduduk kampung yang bermula semalam di kawasan hutan tidak berjaya menemui sebarang petunjuk positif. — DayakDaily