Rumah terbakar di Miri, 15 hilang tempat berteduh

Anggota Bomba berusaha memadam kebakaran.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


MIRI, 11 Okt: Seramai 15 orang hilang tempat berteduh apabila rumah didiami mereka di Kampung Pulau Melayu, di sini musnah dalam satu kebakaran pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata kebakaran berlaku pada jam 8.13 pagi dan anggota dari Balai Bomba Miri terus ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal dua tingkat yang telah terbakar 90 peratus dan anggota Bomba bertindak terus memadam kebakaran tersebut menggunakan sumber air dari pili Bomba berdekatan.


“Seramai 15 orang penghuni terdiri daripada tiga buah keluarga terjejas akibat kebakaran tersebut,” katanya.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.

“Kebakaran juga berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.23 pagi,” katanya.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily