KAPIT, Dis 29: Malang menimpa 21 orang penghuni di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Bukit Goran di sini apabila mereka terpaksa tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah terbakar, hari ini.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 9.13 pagi itu, kesemua penghuni rumah berkenaan berjaya keluar menyelamatkan diri.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, Andrew Puing berkata, kejadian tersebut juga tidak melibatkan sebarang kecederaan, namun penghuni rumah tersebut gagal menyelamatkan pelbagai barangan milik mereka.
Menurutnya, sebelum itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran itu pada pukul 9.15 pagi.
“Sejurus itu, 18 anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke lokasi kebakaran bagi melakukan kerja-kerja pemadaman api.
“Jentera pertama telah tiba dilokasi pada pukul 9.23 pagi dan mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal.
“Anggaran keluasan rumah itu ialah 30’ X 40’ dan kedudukan kediaman tersebut jauh dari jalan utama dan tiada jalan untuk pasukan bomba membawa jentera berserta peralatan kebombaan ke lokasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pasukan bomba terpaksa menarik hos dari jentera untuk melakukan kerja-kerja pemadaman api.
Katanya, operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada pukul 10.59 pagi.
“Buat masa ini, kita masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian tersebut,” ujarnya lagi. — DayakDaily