Rumah setinggan di Batu Kawa hangus, penghuni hilang

Anggota Bomba sedang memadam kebakaran.

KUCHING, 17 Jun: Sebuah rumah setingan di kawasan Skim Penempatan Semula Batu Kawa, di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kebakaran dilaporkan berlaku pada jam 10.56 malam dan anggota dari Balai Bomba Batu Lintang terus ke lokasi kejadian.

Setiba di lokasi kejadian, komander melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah berpenghuni jenis tidak kekal telah musnah sepenuhnya.

Jelasnya, kebakaran berjaya dikawal 5 minit kemudian dengan pemadaman menggunakan sumber air dari jentera bomba sehingga kebakaran dipadamkan sepenuhnya.

Saksi di tempat kejadian memberitahu rumah tersebut didiami dua individu, tetapi gagal ditemui sehingga operasi selesai.


Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.34 malam dan punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily