Rumah pekerja ladang terbakar, 50 orang hilang tempat tinggal

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

SIMUNJAN, April 18: Malang menimpa 50 orang pekerja ladang termasuk ahli keluarga mereka apabila rumah pekerja yang didiami musnah dalam satu kebakaran awal pagi ini.

Kejadian yang memusnahkan 100 peratus lapan pintu rumah pekerja itu dilaporkan berlaku pada pukul 2.30 pagi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pusat gerakan operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut pada pukul 2.34 pagi.

Katanya, 14 anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi kebakaran bagi melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila sampai di tempat kejadian, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar rumah pekerja di situ.


“Anggota bomba kemudian bertindak melakukan gerakan memadam kebakaran tersebut bagi mengelak api semakin merebak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mangsa berjaya keluar menyelamatkan diri.

Katanya, tiada sebarang laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. — DayakDaily