Jamilah: Ketua masyarakat perlu amanah dalam jalankan tanggungjawab

Jamilah (tiga kanan) menyampaikan watikah pelantikan kepada Penghulu Zon Sampadi, Sharkawi Nawi.

LUNDU, April 18: Seramai 27 ketua masyarakat dan ketua kaum di daerah Lundu telah menerima watikah pelantikan masing-masing dalam satu majlis yang telah berlangsung di Auditorium SALCRA Bajo Training Centre, Lundu di sini semalam.

Kesemua mereka merupakan KMKK lantikan baru dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar dan Tanjong Datu.

Watikah pelantikan tersebut telah disampaikan ADUN Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu dan ADUN Opar, Datuk Ranum Mina.


Dalam majlis tersebut, Jamilah mengambil kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ketua masyarakat dan ketua kaum lantikan baharu bagi daerah Lundu.

Beliau turut berterima kasih kepada semua ketua masyarakat dan ketua kaum kerana telah banyak membantu dan bekerjasama dalam pelaksanaan projek pembangunan, aktiviti serta program yang diadakan di daerah itu.

Tambahnya, kerjasama seumpamanya perlu diteruskan dan dipertingkatkan terutama dalam membangunkan kampung-kampung serta daerah Lundu.

“Saya menyeru semua ketua masyarakat dan letua kaum khasnya lantikan baharu agar memikul tanggungjawab masing-masing dengan penuh telus, ikhlas, amanah dan juga berintegriti.

“Kepimpinan andalah yang akan menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

“Bijaklah dalam menangani permasalahan dan sekiranya tidak pasti, rujuklah kepada sumber-sumber yang sahih dan tepat dari agensi-agensi yang berkaitan,” ujar Jamilah lagi.

Turut berlangsung semasa majlis tersebut adalah upacara angkat sumpah integriti SPRM melibatkan semua ketua masyarakat dan ketua kaum yang diketuai oleh Pemanca Bujang Man.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Residen Bahagian Kuching, Ismail Hanis dan Pegawai Daerah Lundu, Awang Putrayusrie Awang Redzuan. ā€” DayakDaily