Rumah musnah terbakar, dua lelaki selamat dalam insiden itu

Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran di Kampung Tanjung Pisang, Simunjan.

SIMUNJAN, Julai 26: Tindakan pantas dua lelaki keluar dari rumah yang sedang terbakar berjaya mengelak daripada berlaku kejadian tidak diingini dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Tanjung Pisang di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 malam itu, sebuah rumah dua tingkat berstruktur kayu jenis tidak kekal telah musnah terbakar 100 peratus.

Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan, Mat Undek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 9.53 malam.


Jelasnya, sejurus menerima maklumat mengenai kebakaran itu, sepasukan sembilan anggota bomba telah diarah ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah berkenaan.

“Api marak dengan cepat disebabkan struktur rumah berkenaan diperbuat daripada bahan-bahan mudah terbakar,” katanya di sini hari ini.

Mat Undek menambah, operasi memadam kebakaran itu dilakukan dengan menggunakan sumber air dari jentera pemadam kebakaran.

Ini kerana, ujarnya, tekanan air rendah di kawasan tersebut.

“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

“Operasi memadam kebakaran tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah malam,” ujarnya. — DayakDaily