Rumah didiami tujuh sekeluarga musnah terbakar di Ulu Pasai Siong

Anggota Bomba sedang giat memadamkan kebakaran yang memusnahkan rumah dihuni tujuh sekeluarga.

SIBU, 14 Mac: Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang setelah rumah yang didiami mereka di Ulu Pasai Siong di sini musnah dalam kejadian kebakaran sekitar jam 3.14 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, maklumat awal yang diterima memaklumkan kebakaran terbabit melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang telah terbakar kira-kira 70 peratus strukturnya.

“Kita mengarahkan keluaran dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah yang diketuai PBK II Joseph Balon bersama lapan anggota untuk ke lokasi kejadian.


“Komander operasi yang tiba di lokasi melaporkan kebakaran tersebut melibatkan sebuah rumah struktur separuh kekal dua tingkat telah terbakar 90 peratus dengan anggaran keluasan rumah tersebut adalah 1,200 kaki persegi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keadaan rumah dihuni tujuh sekeluarga yang musnah dalam kebakaran petang tadi (14 Mac 2021) di Ulu Pasai Siong.

Jelasnya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu kerana kesemua penghuni rumah tersebut tiada di rumah ketika kejadian tersebut.

Beliau berkata, pihak Bomba mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk mengawal kebakaran tersebut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.28 petang.

“Punca kebakaran serta jumlah kerugian yang ditanggung oleh pemilik rumah masih dalam siasatan,” katanya. — DayakDaily