Remaja, 14 tahun, maut dalam kemalangan di Kota Samarahan

Keadaan di lokasi kemalangan yang meragut nyawa mangsa.
Advertisement

Oleh DayakDaily Team

KOTA SAMARAHAN, 11 Jun: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di jalan Kampung Tanjung Tuang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Jaimi Husin berkata bilik gerakan IPD Kota Samarahan menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut pada jam 8 malam.

Advertisement

“Siasatan awal di tempat kejadian, dipercayai kemalangan berlaku pada jam lebih kurang 7.30 malam, melibatkan dua buah motosikal.

“Kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa menunggang motosikal dari Tanjung Tuang ke arah Kota Samarahan telah hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan yang ditunggangi seorang lelaki berusia 36 tahun yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa (14 tahun) telah disahkan meninggal dunia, manakala penunggang (36 tahun) sebuah lagi motosikal mengalami kecederaan parah di kaki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia didapati tidak mempunyai lesen.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement