Rombakan Kabinet utamakan negara dan kestabilan politik — DPM Fadillah

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 12 Dis: Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim diyakini telah telah menilai dengan teliti, kesesuaian setiap menteri dan portfolio yang diamanahkan dalam rombakan Kabinet hari ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, ia dilaksanakan berdasarkan pengetahuan serta kemahiran masing-masing, selepas melakukan pemantauan rapi sepanjang setahun Kerajaan Perpaduan.

“Rombakan Kabinet bukan sekadar bertujuan mengisi kekosongan tetapi lebih dilihat kepada ke arah memperkasakan lagi gerak kerja dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.


“Dalam membuat pertimbangan penyusunan semula Kabinet kepentingan negara dan politik yang stabil tentunya menjadi keutamaan Perdana Menteri.

“Ini amat penting kerana untuk kita mengerakkan dan memperkukuhkan ekonomi, asas utama adalah kedatangan pelabur serta politik yang stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Fadillah, perlantikan muka baharu yang berwibawa, pengwujudan kementerian baharu, penyusunan semula bidang tugas di kementerian sedia ada dan pertukaran portfolio diyakini mampu memacu setiap rancangan mahupun agenda yang telah disusun rapi oleh kerajaan Madani.

Dalam rombakan tersebut, beliau dilantik sebagai menteri di kementerian baharu iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Menteri Bertanggungjawab Terhadap Hal Ehwal Sabah Sarawak.

“Bagi Hal Ehwal Sabah Sarawak keutamaan akan saya berikan kepada meneruskan usaha menyelesaikan segera isu-isu tertunggak dan meletakkan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) ditempat sepatutnya.

“Sekali gus merapatkan lagi jurang fizikal, ekonomi dan sosial antara Sarawak dan Sabah dengan semenanjung,” katanya. — DayakDaily