Rokok seludup bernilai RM4.5 juta dirampas di Merapok, Lawas

PATI (tengah) dan barang yang dirampas dalam operasi tersebut.

KUCHING, 1 Dis: Tentera Darat Malaysia (TDM) mematahkan cubaan menyeludup 30,000 karton rokok bernilai mencecah RM4.5 juta di Merapok, Lawas.

Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) melalui kenyataan berkata, rampasan dan tangkapan itu sekitar jam 12.30 tengah malam tadi.

Katanya, tangkapan dibuat semasa sepasukan anggota yang sedang melaksanakan rondaan Ops Benteng di kawasan Tg Enasan Tinggi, Bukit Skaban.


“Dua lori yang mencurigakan dikesan melalui kawasan tersebut. Semasa anggota cuba menahan kenderaan tersebut, tiga daripada empat individu berjaya melarikan diri.

“Seorang individu lelaki berusia 35 tahun yang ditahan merupakan PATI berikutan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Jelasnya, nilai keseluruhan barang yang dirampas termasuk dua buah lori dianggarkan sebanyak RM4,708,700.

“Barang yang dirampas ialah sebuah lori ISUZU NPR 150 (RM100,700), sebuah lori HINO XZU730 (RM108,000), 30,000 karton rokok putih bernilai RM4,500,000 (dengan anggaran kiraan pihak KASTAM bagi sebatang rokok bernilai RM0.75),” katanya.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 135 (1) (e) AKTA KASTAM 1967 memiliki barangan tanpa cukai.

“Manakala PATI yang ditahan telah dibawa ke IPD Lawas untuk tindakan selanjutnya,” tegasnya lagi.

Tegasnya, TDM akan terus kekal siaga dan komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak Covid-19. — DayakDaily