Lelaki meninggal dunia dihempap kren di Petanak, Kuching

Pihak kontraktor sedang mengorek tanah untuk memudahkan sebahagian badan mangsa dialihkan.

KUCHING, 1 Dis: Seorang lelaki meninggal dunia akibat dihempap sebuah kren di Jalan Petanak, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa dikenali sebagai Manggi Nanjus berusia 51 tahun dan berasal dari Kampung Praya, Padawan.

Katanya, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 7.21 malam dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Padungan terus ke lokasi kejadian.

“Komander operasi melaporkan mangsa dihempap kren dan pihak kontraktor sedang berusaha membuat kerja-kerja mengorek dari bawah disebabkan kren berkenaan tidak dapat ditarik untuk diletakkan di kedudukan asal.

“Sebahagian anggota badan mangsa masih tersepit dan sebahagian lagi anggota badan dan kepala mangsa telah dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan.

Usaha mengeluarkan lagi sebahagian anggota badan mangsa masih dijalankan setakat ini (9.14 malam).

Sumber memberitahu mangsa merupakan operator kren berkenaan. — DayakDaily