Rokok, minuman keras seludup dirampas di Simunjan

Lori penuh dengan muatan minuman keras.

KUCHING, 4 Mac: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) menahan dua lelaki tempatan kerana dipercayai cuba menyeludup minuman keras dan rokok di simpang Simunjan, semalam.

Komander PPMW5 ACP Zulfikar Mohd Ghazali berkata kedua-dua suspek yang berusia 35 dan 55 tahun itu ditahan untuk pemeriksaan oleh pasukan operasi Ops Kontraban sekitar jam 3.30 pagi.

Katanya, kedua-dua suspek terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen sah dari pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).


“Pemeriksaan lanjut telah menjumpai sejumlah 3,510 kotak minuman keras pelbagai jenama, 30 kotak rokok kretek dan 150 kotak rokok putih.

“Hasil semakan yang dijalankan, mendapati kedua-dua pemandu terbabit gagal mengemukan sebarang bukti berdokumen dari pihak Kastam berkaitan pemilikan barangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut dirampas, dua buah lori menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM2,300,495.16.

Jelasnya, kesemua barang rampasan dan tangkapan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Simunjan untuk tindakan siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. — DayakDaily