Rokok, bir seludup bernilai RM603,514 dirampas

Rokok dan bir seludup di rampas dari sebuah stor.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 27 Ogos: Pasukan Gerakan Am Batalion 12 Miri (PGA) menumpaskan sindikit pengedaran rokok dan bir seludup bernilai RM603,514.00, termasuk wang tunai berjumlah RM20,000, dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Maigold Golden Royal Villa Senadin kelmarin (26 Ogos).

Menurut pegawai pemerintah PGA Miri, Supt Tan Hiap Seng, serbuan dilakukan di belakang sebuah rumah di kawasan berkenaan sekitar jam 1 petang di mana seorang lelaki berusia sekitar 30-an disyaki penjaga stor tersebut ditahan, bersama 6,004 kotak bir dan rokok seludup berbagai jenis yang ditemui.


Beliau menambah bahawa stor tersebut dijadikan tempat penyimpanan minuman keras dan rokok sementara sebelum diedarkan di kedai-kedai sekitar kawasan tersebut.

“Dalam serbuan tersebut, pihak PGA bersama empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cawangan Miri (SPRM) melakukan serbuan di sebuah stor yang terletak di belakang rumah berkenaan,” ujar Tan.

Beliau menambah, ketika pasukan serbuan membuat pemeriksaan, penjaga stor tersebut telah memberikan wang sogokan berjumlah RM20,000.00 kepada pasukan serbuan untuk tidak dikenakan tindakan undang-undang.

“Penjaga stor tersebut telah diberikan amaran berulang kali tetapi masih mendorong pasukan serbuan untuk menerima wang sogokan tersebut,” jelas nya.

Nilai anggaran rampasan rokok dianggarkan berjumlah RM380,804.00 dan anggaran nilai rampasan bir dan minuman keras bernilai RM172,710.00 termasuk cukai.

“Kita juga turut merampas sebuah kenderaan van anggaran RM30,000.00 dan rampas wang sogokan sebanyak RM20,000.00 dari suspek, rampasan akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Miri (IPD) Miri dan SPRM Miri untuk tindakan dan siasatan lanjut,” kata Tan.

Kes disiasat mengikut Seskyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan Sek 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.—DayakDaily