Rokok bernilai RM826,476 dirampas di Kota Samarahan

Rokok yang dirampas dalam operasi tersebut.

KOTA SAMARAHAN, 16 Julai: Pelbagai jenis rokok dianggarkan bernilai mencecah RM827,476 dirampas dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Midway Crescent, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata operasi oleh Pasukan Gerakan Am, Briged Sarawak dijalankan sekitar jam 11 pagi berdasarkan maklumat dan risikan yang diperolehi.

Katanya, turut ditahan dalam operasi tersebut ialah tiga lelaki tempatan untuk membantu siasatan.


“Pemeriksaan telah dibuat di dalam rumah dan hasilnya telah menjumpai sejumlah rokok pelbagai jenis yang disyaki tidak di bayar cukai.

“Pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kenderaan jenis Naza Ria juga telah menjumpai pelbagai jenis rokok,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. — DayakDaily