Rogol remaja perempuan tiga kali, seorang lelaki diberkas

PDRM logo

KUCHING, Julai 27: Tindakan seorang remaja lelaki merogol seorang perempuan berusia 14 tahun akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Gersik, di sini hari ini.

Remaja lelaki berusia 15 tahun itu diberkas susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada 25 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek, berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa mendakwa telah dirogol sebanyak tiga kali oleh suspek.

Katanya, akibat tidak tahan diperlakukan oleh suspek, mangsa kemudian memberanikan diri tampil membuat laporan polis sambil diiringi ahli keluarganya.

“Tidak cukup dengan itu, mangsa juga mendakwa baru mengenali suspek kira-kira seminggu di Taman Rekreasi Wisma Bapa Malaysia di sini.

“Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya di sini hari ini.

Ng menambah, jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan. — DayakDaily