Rogol anak, petani dipenjara 15 tahun, kena lima sebatan

Anggota polis mengiringi tertuduh selepas dijatuhkan hukuman 15 tahun dan lima sebatan hari ini.
Advertisement

LAWAS, Mac 16: Perbuatan jijik seorang bapa yang merogol anak kandungnya selama 10 tahun lalu terbalas apabila Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan lima kali.

Majistret Mohd Hafizi Abdul Halim memerintahkan hukuman tersebut selepas tertuduh berusia 47 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak perempuannya yang kini berusia 25 tahun sejak dia berusia 15 tahun di Kampung Languban, Merapok di sini.

Advertisement

Mengikut fakta kes, kali terakhir tertuduh didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di sebuah kebun getah milik keluarganya di kampung sama pada Feb 1 lalu.

Akibat tidak tahan dijadikan tempat bapanya melepaskan nafsu buasnya selama itu, mangsa kemudian nekad membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Penyiasat, Inspektor Idrus Arshad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — DayakDaily

Advertisement