RM73 juta bagi tiga projek mega Kampung Tambirat

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah
Advertisement

Oleh Cornelius Kadir Edison

KOTA SAMARAHAN, 13 Dis: Dua lagi projek mega bakal dilaksanakan di Kampung Tambirat melibatkan pembinaan kawasan terbingan (waterfront) dan projek menahan hakisan di kampung terbabit.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dua projek tersebut merupakan tambahan kepada projek sedia ada yang menyediakan pusat penjaja bagi kemudahan untuk penduduk kampung tersebut menjalankan aktiviti peniagaan mereka.

Advertisement

“Ketiga projek ini iaitu Pusat Penjaja, Projek Benteng Menahan Hakisan dan Tebingan Kampung Tambirat melibatkan kos ke seluruhan sebanyak RM73 juta.

“Untuk projek menyediakan pusat penjaja bagi lebih 80 penjaja di Kampung Tambirat  ini  telah pun bermula sekarang dan dijangka akan siap dalam tempoh setahun akan datang.

“Manakala, bagi Projek Pembinaan Benteng  Menahan Hakisan dan Tebingan Kampung  Tambirat, kedua projek tersebut kini masih dalam proses tender dan kita mensasarkan ia dapat disiapkan dalam tempoh 24 bulan selepas kerja-kerja pembinaan bermula.

“Kedua projek ini masing-masing melibatkan kos sebanyak RM31 juta untuk projek tebingan (waterfront) dan RM35 juta untuk projek benteng menahan hakisan,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah projek Pembinaan Pusat Penjaja Kampung Tambirat di sini hari ini.

Abdul Karim menekan butang pada jentera menanam cerucuk sebagai simbolik pecah tanah projek Pusat Penjaja Kampung Tambirat Asajaya.

Beliau berkata, kedua projek tersebut akan dibina dalam reka bentuk yang bersesuaian termasuk kemudahan astaka selari dengan tujuan untuk menyediakan lokasi tetap bagi acara Regata Samarahan yang diadakan setiap dua tahun sekali.

Katanya, astaka tersebut akan dibina dalam bentuk dua arah dengan salah satunya menghadap kearah Sungai Samarahan sementara satu lagi akan menghadap ke arah Pusat Penjaja Kampung Tambirat.

“Tempat itu akan menjadi satu tempat yang cukup menarik yang mana kalau kita hendak buat program-program belia dan saya mahu ia menjadi antara  tempat belia-belia beriadah, manakala pada hujung minggu ia akan menjadi tumpuan untuk orang dari Kuching dan Samarahan untuk membeli belah di kawasan gerai-gerai yang sedang kita bina pada ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, benteng menahan hakisan sepanjang 950 meter yang turut akan dibina serentak dengan projek tebingan itu bukan sahaja dapat mengatasi masalah hakisan tebing sungai di kampung tersebut tetapi juga menjadi nilai tambah kepada projek Tebingan Kampung Tambirat.

Katanya, benteng tersebut akan dibina sesuai dengan reka bentuk Tebingan Kampung Tambirat supaya dapat menyediakan tempat bagi pengunjung dan penduduk kampung melakukan aktiviti riadah bersama keluarga atau rakan mereka.

“Tempat itu akan menjadi satu tempat yang cukup menarik kepada warga Samarahan, Asajaya dan orang-orang luar yang akan berkunjung ke kawasan ini kerana kita tidak mahu apabila mereka datang ke gerai habis di situ sahaja.

“Kalau dia datang dengan keluarga, mereka akan mempunyai kawasan yang boleh diterokai dengan lebih kurang seribu meter kawasan tambakan dan ‘waterfront’ dan ia menjadi satu tempat atau lokasi untuk dikunjungi,” katanya. — DayakDaily

Advertisement