RM500 juta sudah diluluskan bagi projek naik taraf 130 sekolah daif di Sarawak

Antara sekolah daif di Sarawak.

KUCHING, Jan 31: Fasa pertama projek menaik taraf 130 sekolah daif membabitkan peruntukan berjumlah RM500 juta di Sarawak sudah diluluskan Kementerian Pendidikan (KPM) dan pembinaannya dijangka bermula akhir Februari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebanyak 30 peratus daripada projek tersebut diuruskan oleh kementeriannya, manakala 70 peratus lagi di KPM.

Fadillah yang juga merupakan pengerusi pasukan petugas khas Sarawak untuk projek itu memberitahu, bagi projek di bawah kementeriannya, semua kerja pembinaan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR).


“Semua projek pembinaan bagi sekolah daif ini sudah diserahkan kepada JKR untuk proses pemberian tender yang akan dikeluarkan pada pertengahan Februari ini, diikuti pelaksanaannya bermula akhir bulan sama.

“Sebaik sahaja mendapatkan tender, kontraktor dilantik diberi tempoh tiga bulan untuk menyiapkan projek yang diberikan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Lestari Modal Insan Koperasi dan Bicara Ilmu “Transformasi Perniagaan Melalui Platform Digital: Potensi Dan Peluang” di Dewan Hikmah di sini semalam.

Fadillah menambah, projek menaik taraf sekolah daif menggunakan sistem bangunan berindustri (IBS) bagi fasa pertama itu membabitkan peruntukan sebanyak RM500 juta.

Jelasnya, jumlah itu merupakan separuh daripada peruntukan RM1 bilion yang diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Bajet 2018.

“Projek menaik taraf ini membabitkan kerja-kerja pembinaan bangunan baharu bagi kelas, makmal dan asrama di sekolah yang dipilih.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 400 sekolah di Sarawak disenaraikan sebagai daif dan dipilih untuk dibaik pulih pada tahun ini,” ujarnya.

Sekolah-sekolah terbabit ialah empat Sekolah Kebangsaan (SK) di Sarikei, empat SK di Julau, Sibu dan Lanang, tiga SK di Kanowit dan Selangau, tiga SK di Mukah serta tiga SK di Igan dan Tanjung Manis.

Antara lain, enam SK di Miri, Baram dan Lawas, empat SK di Bintulu dan Sibuti, enam SK di Limbang, lima SK di Mas Gading, lapan SK di Lubok Antu serta lima SK di Puncak Borneo. — DayakDaily