RM10.3 juta kerugian akibat kes ‘Macau Scam’ sepanjang tahun 2018

Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah

Oleh Dean Adam

KUCHING, Feb 27: Sebanyak 209 kes ‘Macau Scam’ dilaporkan di Sarawak sepanjang tahun 2018 dengan melibatkan jumlah kerugian melebihi RM10.3 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, manakala bagi tempoh 1 Januari 1 hingga Februari 26, 2019 pula sebanyak 15 kes ‘Macau Scam’ dilaporkan melibatkan jumlah kerugian melebihi RM143,067.62.

Jelasnya, sebanyak 49 tangkapan telah dibuat pada tahun 2018, dan 15 tangkapan pada tahun ini.

“Pihak polis masih menjalankan risikan untuk membanteras dan menggempur sindiket ‘Macau Scam’ pada tahun ini.


“Kes ‘Macau Scam’ kali terakhir dilaporkan berlaku di negeri ini adalah pada Febuari 15 lepas. Namun, setelah 12 hari berlalu, satu kejadian terbaru dilaporkan di Sarikei, Sarawak pada Februari 26 lalu,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, bagaimanapun dalam kes terbaru yang dilaporkan itu, tiada kerugian yang dialami oleh seorang pegawai kastam. — DayakDaily