RM1.8 juta bagi pengoperasian Tempat Transit Gelandangan pada tahun 2025

Fatimah (dua dari kiri) pada Operasi Menyelamat Gelandangan di sekitar Bandaraya Kuching semalam (11 Nov 2024).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 12 Nov: Kerajaan Sarawak pada tahun 2025 memperuntukkan sejumlah RM1.8 juta bagi pengoperasian Tempat Transit Gelandangan (TTG) di Bahagian Sibu, Kuching, Miri dan Bintulu.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, peruntukan khas itu diumumkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa membentangkan Belanjawan Negeri 2025 di Dewan Undangan Sarawak (DUS) semalam.

Advertisement

“Peruntukan khas ini akan digunakan bagi membantu golongan gelandangan, khasnya dalam membangun dan menyelenggara Tempat Transit Gelandangan di negeri ini,” katanya pada sidang media ‘Operasi Menyelamat Gelandangan di Kuching’ malam tadi.

Tambah Fatimah, setakat Oktober 2024, terdapat 107 gelandangan telah ditemukan menerusi operasi bersepadu.

Menerusi statistik sejak tahun 2016, katanya, terdapat 43 gelandangan ditemukan dan angka ini meningkat kepada 84 orang pada tahun 2017.

Angka ini menurun semula kepada 34 orang pada tahun 2018.

“Tahun 2022 pula, jumlah gelandangan yang diselamatkan adalah seramai 89 orang, sementara pada tahun 2023 pula terdapat 93 gelandangan berjaya diselamatkan.

“Situasi gelandangan ini agak terkawal sekitar tahun 2019 hingga penghujung tahun 2021 disebabkan kawalan ketat semasa pandemik Covid-19 yang melanda negara,” ujarnya.

Selesai sesi sidang media, Fatimah mengetuai rombongan Operasi Menyelamat Gelandangan di sekitar Bandaraya Kuching termasuklah kawasan sekitar Tebingan Sungai Kuching, Electra House dan Jalan Gambier.

Pada penghujung operasi itu, hanya empat orang gelandangan ditemui dan selain tiga warga tempatan, salah seorang daripada mereka merupakan warganegara Indonesia.

Menurut Fatimah, gelandangan yang ditemui ini akan dibawa ke pusat rawatan bagi tujuan pemeriksaan kesihatan selain ke pusat operasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak atau ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Cawangan Sarawak bagi tujuan dokumentasi jika perlu. — DayakDaily

Advertisement