RM1.5 juta diperlukan baiki trek balapan daif di Kompleks Sukan Limbang

Dr Abdul Rahman bersalaman dengan pemain liga Limbang. Foto: TVS
Advertisement

KUCHING, 26 Ogos: Peruntukan tambahan lebih RM1.5 juta diperlukan untuk membaiki trek balapan daif di Kompleks Sukan Limbang yang merupakan venue utama untuk kejohanan di utara Sarawak, kata Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Menurut laporan TVS, Dr Abdul Rahman berkata, kerja pembaikan trek balapan itu bermula bulan depan.

Katanya, ia melibatkan keluasan 100 meter sahaja dengan kos RM500,000 daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Belia dan Sukan.

Advertisement

“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang memberi peruntukan sejumlah RM500,000 untuk membaik pulih trek balapan di kompleks sukan ini tetapi ia tidak mencukupi.

“Peruntukan hanya dapat membaik pulih sepanjang 100 meter dan anggaran keseluruhan dalam lingkungan RM1.5 juta hingga RM2 juta.

“Saya berharap Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan di Sarawak menyediakan peruntukan tambahan agar projek pembaikan trek balapan ini dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Kejohanan Bola Sepak Liga Limbang 2024 di Kompleks Sukan Limbang pada semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga ADUN Bukit Kota turut berharap Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan dapat melihat keperluan prasarana sukan di Limbang yang perlu dinaik taraf dan dibina.

Menurutnya, pada masa ini Limbang mempunyai beberapa kemudahan dan prasarana sukan seperti kolam renang, kompleks sukan, stadium tertutup dan kemudahan sukan di kawasan kampung.

“Kita sedang mengenal pasti beberapa kemudahan seperti padang bola sepak untuk dinaik taraf bagi supaya dapat menjadi venue utama kejohanan berprestij pada masa akan datang,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement