Riot yakin menjadi calon untuk Serian dalam PRU14

Riot bertanya khabar kepada penerima Perkeso.

KUCHING, Dis 17: Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Menteri Sumber Manusia, Dato Sri Richard Riot Jaem yakin beliau akan dicalonkan semula bagi mempertahankan kerusi Parlimen Serian yang disandangnya itu pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).

“Setahu saya, tidak ada sebab langsung bagi saya tidak dapat menjadi calon (kerusi Parlimen Serian) lagi, kerana selama ini sudah menunjukkan prestasi (baik), kamu (wartawan) boleh mengesahkan ini di kawasan saya ataupun dari sesiapa sahaja yang ada di pekan (Serian),”katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Krismas Bersama Penerima Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 2017, di sini, semalam.

Di majlis terbabit beliau menyerahkan cek pampasan dari PERKESO kepada enam orang penerima berjumlah RM110,166 disamping peralatan pemulihan kepada enam penerima serta sebanyak 40 hamper dan wang saguhati kepada ibu tunggal dan anak, pengaja serta anak yatim piatu.


Riot yang sudah menjadi Ahli Parlimen Serian sejak 1990 dan sudah enam penggal malahan yakin akan mendapat “rezeki” dengan memenangi semula kerusi parlimen majoriti pengundinya kaum Bidayuh itu dengan majoriti lebih besar pada PRU14 walaupun sebelum ini terdapat dakwaan beliau menghadapi masalah runggutan rakyat kawasan itu terhadapnya sebagai wakil rakyat mereka.

“Tidak ada masalah rungutan (penduduk) di kawasan saya, kerana Serian selama ini telah kukuh. Saya sentiasa berada di kawasan bagi menghadiri majlis diadakan penduduk disana kecualilah saya mempunyai tugas rasmi di Kuala Lumpur atau di luar negara, tetapi setiap hujung minggu akan pulang melawat kawasan,” katanya.

Dalam pada itu, Richard Riot memberitahu, jadual beliau sangat padat di Parlimen Serian setiap hujung minggu.

“Jadual saya amat padat untuk rakyat di Serian sejak lebih 25 tahun lalu.

“Oleh sebab itu, saya yakin pucuk kepimpinan SUPP tiada alasan untuk mencalonkan saya semula pada PRU-14 nanti,” ujarnya lagi.

Ini kerana setelah menceburi politik selama 28 tahun, beliau mendapati tiada bezanya samada menjelang pilihanraya atau tidak, kerana sebagai wakil rakyat, mereka mesti perlu melawat kawasan masing-masing, malahan sebelum ini telah mampu melakukannya walaupun menjawat jawatan Timbalan Menteri Luar Negeri mulai 2010 yang memerlukannya sentiasa berada di luar negara sebelum dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia pada 2013.

Riot memberikan sumbangan Krismas kepada para penerima Perkeso.

Riot memenangi kerusi Parlimen Serian sebagai calon bebas pada 1990 sebelum menyertai SUPP lima tahun kemudian.

Sementara itu. mengenai Persidangan Perwakilan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi memilih pucuk pimpinan parti terbabit pada Dis 22 depan, Riot yang juga Timbalan Presiden SUPP enggan mengulas samada beliau atau pemimpin pucuk pimpinan parti itu yang lain akan bertanding mengekalkan jawatan masing-masing.

“Saya tidak tahu akan ada pertandingan atau tidak, tetapi seperti kata Presiden SUPP (Professor Dr Sim Kui Hian), semua jawatan tertinggi dalam parti akan terbuka bagi ditandingi,” katanya. Beliau menambah kata, semuanya akan diketahui selepas tarikh tutup pencalonan merebut jawatan terbabit sebelum persidangan itu.

Riot merakam gambar bersama para penerima Perkeso.

Dalam PRU-13, Riot meraih 19,494 undi menewaskan Edward Andrew Luwak (DAP) yang mendapat 6,343 undi, dan Johnny Aput (Star) yang hanya mendapat 390 undi.

Riot adalah satunya calon SUPP yang menang, manakala enam lagi calon parti tewas dalam PRU13 iaitu di Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang, Sibu dan Miri. — DayakDaily