Penduduk gempar akibat kejadian letupan

Keadaan dinding dapur yang retak.

SIBU, Dis 17: Penduduk yang menetap di Lorong 16A1, Jalan Teku di sini gempar apabila berlaku satu kejadian letupan di salah sebuah rumah di situ tengah malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 12.30 malam itu telah mengakibatkan bahagian dinding dapur rumah sewa tersebut retak dan pecah.

Beberapa rumah jiran di sebelah turut mengalami keretakan akibat gegaran daripada letupan kuat itu.


Bagaimanapun, tiada sebarang laporan kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Ini kerana, tiada penghuni berada di dalam rumah berkenaan semasa kejadian.

Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 12.56 pagi.

Katanya, sejurus menerima laporan insiden, lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dikerahkan ke lokasi bagi melakukan tindakan susulan.

Anggota bomba memeriksa tong gas di tempat kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati bahagian dinding rumah terbabit telah retak dan beberapa peralatan dapur turut pecah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati salah satu daripada tong gas memasak di dapur berkenaan mengalami kebocoran dan letupan dipercayai berlaku akibat keadaan itu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap bomba menambah, bagaimanapun, punca letupan masih lagi disiasat.

“Pemilik rumah tersebut telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Jumlah kerugian akibat insiden tersebut juga masih lagi disiasat,” ujarnya lagi. — DayakDaily