Riot pertahankan kerusi Parlimen Serian dengan majoriti 9,905 undi

Riot (kanan) mengangkat tangan sebagai meraikan kemenanganya di Parlimen Serian sebaik sahaja diumumkan Pengawai Pengurus Pilihanraya bagi kawasan itu, Lim (kiri) sambil diperhatikan calon bebas Senior William (dua dari kanan), di Dewan Masyarakat Serian, Pekan Serian, di sini, semalam.

SERIAN, Mei 10: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem menang besar dengan majoriti sebanyak 9,905 undi mengalahkan calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan calon bebas pada Pilihan Raya Umum (PRU14) ini.

Riot mendapat keseluruhannya sebanyak 17,545 undi manakala calon DAP, Edward Andrew Luwak mendapat sebanyak 7,640 undi dan calon bebas Senior William Rade mendapat sebanyak 2,234 undi selepas tamat pengiraan undi di Dewan Masyarakat Serian di Pekan Serian, di sini, jam 7.15 semalam.

Parlimen Serian pada PRU14 ini mempunyai sebanyak 37,629 pengundi dengan sebanyak keseluruhannya sebanyak 27,880 kertas undi telah dikeluarkan dengan sebanyak 385 kertas undi telah ditolak dan sebanyak 76 undi tidak kembali serta 74.1 peratus pengundi keluar mengundi.

Pegawai Pilihanraya Parlimen Serian, Lim Hock Meng mengumumkan kemenangan Riot sekitar jam 8.15 malam yang juga dihadiri calon bebas, Senior William Rade tetapi tiada kehadiran calon DAP Edward.

Riot selepas diumumkan sebagai pemenang mengucapkan terima kasih kepada seramai 17 ribu penduduk Serian yang telah mengundinya dan memberikannya mandat untuk kembali menjadi wakil rakyat mereka di Parlimen Serian.

“Bagaimanapun pilihanraya kali ini adalah yang paling sengit pernah saya hadapi, mereka (pembangkang) telah ada memukul saya dibawah tali pinggang dengan bermain taktik kotor dan serangan peribadi. Namun, saya tidak akan menghukum mereka yang berkempen menentang saya sedemikian,” katanya.

Menurut Riot walaupun lawannya mengunakan taktik kotor dan serangan peribadi terhadapnya, beliau berusaha bangkit melawan dan seterusnya memenangi Parlimen Serian mengunakan pengalamannya yang cukup luas setelah tujuh kali menjadi calon BN di kerusi terbabit dan menang tujuh kali.

“Maka bagi lima tahun akan datang, saya akan berusaha membawa lebih banyak pembangunan ke Parlimen Serian. Mereka yang mengundi saya membuat keputusan bijak tetapi saya merasa berang ada juga mereka yang telah memukul saya dibawah tali pinggang,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini sebagai Menteri Sumber Manusua sudah membawa Institut Latihan Perindustrian (ILP) ke Serian dan selepas ini bercadang mewujudkan pusat pemulihan pertama bagi mereka yang mengalami kecederaan ketika bekerja di Serian dan satu lagi pusat latihan baharu.

Pada PRU13 pada 2013, Riot memenangi kerusi parlimen itu dengan mendapat sebanyak majoriti sebanyak 13,151 undi mengalahkan calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), Edward yang mendapat sebanyak 6,343 undi dan calon Parti Reformasi Negeri (STAR), Johnny Aput yang mendapat sebanyak 390 undi. — DayakDaily