Rh Rangsa Jimat di Julau musnah terbakar

Api marak dengan cepat memusnahkan keseluruhan rumah panjang tersebut.

BINTANGOR, 31 Jan: Sebuah rumah panjang 17 pintu, Rumah Rangsa Jimat di Nanga Meluan, Julau dekat sini dilaporan musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 4.05 pagi.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor terus ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 60 kilometer dari balai dan memakan masa sekurang-kurangnya sejam untuk sampai.


“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran telah memusnahkan 100 peratus rumah panjang tersebut.

“Pasukan Bomba membuat pemadaman menggunakan pam angkut yang dipasangkan pada 100 meter dari lokasi kebakaran melalui kolam ikan berdekatan bagi memadam kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keadaan rumah panjang tersebut yang telah musnah dalam kebakaran.

Difahamkan, penghuni rumah panjang berusaha memadam kebakaran tersebut menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan Bomba.

“Namun api tidak berjaya dipadamkan kerana marak dengan cepat.

“Kebakaran dipercayai bermula di bilik (pintu) no. 6 seterusnya merebak ke kiri dan kanan sehingga meranapkan keseluruhan rumah panjang berkenaan,” katanya.

Tambahnya, kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta jenis Proton Saga yang tidak sempat dipindahkan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua 77 penghuni rumah panjang tersebut selamat.

Punca kebakaran dan dan jumlah taksiran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily