Remaja terjun sungai, ditemui mati disyaki dibaham buaya


TANJUNG MANIS, 13 Nov: Seorang remaja lelaki yang dikatakan terjun ke sungai dari sebuah jeti di Sungai Batang Paloh iaitu berdekatan Rumah Panjang Wub, Bekarkong ditemui mati dipercayai dibaham buaya.

Mayat mangsa dikenali sebagai Alex Rudy Roy Ali, 17 tahun itu ditemui oleh orang awam pada jam 9.30 pagi hari ini iaitu kira-kira 2 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata keadaan mangsa mangsa ditemui dalam keadaan tidak sempurna.


“Berdasarkan soal siasat rakan mangsa, dipercayai mangsa telah terjun ke dalam sungai tersebut dan dibaham buaya.

“Keadaan mayat mangsa juga dijumpai dalam keadaan tidak sempurna, di mana tangan dan bahagian bawah dari pinggang mangsa tiada,” katanya kepada pemberita.

Mayat mangsa kemudian dibawa bomba ke darat dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku sekitar jam 10.05 malam pada 11 November lalu, ketika mangsa bersama dua lagi rakannya duduk di jeti tersebut.

Mangsa dikatakan tanpa menyatakan apa-apa, secara tiba-tiba membuka baju dan terus terjun ke dalam sungai dan tidak muncul-muncul selepas itu.

Rakan mangsa turut terjun ke dalam sungai tersebut untuk menyelamatkan mangsa namun tidak berjaya dan kemudian segera memaklumkan kepada penduduk rumah panjang.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan selepas itu sehingga mayat mangsa ditemui hari ini. — DayakDaily