This Content Is Only For Subscribers
SERIAN, 8 Jun: Empat lelaki dan seorang gadis remaja berusia 17 tahun ditangkap polis kerana disyaki menyamun seorang remaja lelaki di Kampung Lintang Serian, pada 5 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 22 hingga 29 tahun ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Serian semalam.
Katanya, gadis berusia 17 tahun terbabit ditahan untuk membantu siasatan polis.
“Mangsa mulanya telah dihubungi teman wanita seorang daripada suspek agar datang ke tempat kejadian untuk urusan jual beli gelang perak miliknya.
“Apabila mangsa datang, dia terus ditahan empat suspek lelaki yang mengambil telefon bimbit mangsa dan wang tunai RM550 dan rantai serta gelang perak yang dipakainya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis.
Bertindak atas maklumat, semua suspek berjaya ditangkap pada 7 Jun. Turut dirampas ialah sebuah kereta Perodua Axia yang digunakan suspek dan telefon bimbit mangsa.
Kesemua suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kes samun dan dadah.
Saringan air kencing juga mendapati mereka positif dadah.
Kesemua mereka ditahan di lokap Balai Serian dan siasatan dijalankan di bawah dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. — DayakDaily