Remaja maut, mangsa langgar lari di Samarahan

Keadaan motosikal mangsa.

KOTA SAMARAHAN, 7 Mac: Seorang remaja lelaki maut akibat kecederaan parah di kepala selepas menjadi mangsa langgar lari di Kilometer 23 Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya semalam (6 Mac).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa, 19 tahun, berasal dari Kampung Tanjung Kelaso, Sadong Jaya.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 6.30 petang ketika mangsa menunggang motosikal pulang dari tempat kerja di Kota Samarahan menuju ke Sadong Jaya.


“Mangsa dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenalpasti yang datang dari arah bertentangan, iaitu Sadong Jaya menuju ke Kota Samarahan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak ambulans,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kepada orang ramai yang ada menyaksikan kejadian tersebut, sila datang ke balai polis berdekatan untuk memberi maklumat,” kata Alexson. — DayakDaily