Remaja mati lemas di sungai di Matang

DSP Lim Jaw Shyong
Advertisement

KUCHING, 7 Dis: Seorang remaja lelaki disahkan meninggal dunia akibat lemas di sungai di Jalan Matang, di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 1.27 petang semalam.

Katanya, anggotanya terus ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Advertisement

“Polis telah menerima laporan kes melibatkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang dijumpai terbaring di tepi sungai di Jalan Matang.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Umum Sarawak (HUS) dan punca kematian adalah lemas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dan mengutamakan keselamatan diri serta ahli keluarga semasa melakukan aktiviti beriadah. — DayakDaily

Advertisement