SERIAN, 12 Dis: Seorang remaja lelaki disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terlibat kemalangan di Batu 19 Jalan Kuching-Serian hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa,17 tahun, semasa kejadian menunggang motosikal dari arah Taman Duranda Emas menuju ke Batu 13 Jalan Kuching-Serian.
Katanya, mangsa dipercayai terbabas lalu digilis kenderaan lain yang belum dapat dipastikan.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa oleh pegawai perubatan bertugas.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kenderaan terlibat juga telah dibawa ke Balai Trafik IPD Padawan untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia,” kata Alexson. — DayakDaily