Remaja lelaki maut dihempap pokok

Pasukan bomba berusaha membawa mayat mangsa keluar dari lokasi kejadian.

LUNDU, Sept 10: Keseronokan seorang remaja lelaki mengikut rombongan perkelahan berakhir dengan tragedi apabila dia maut akibat dihempap pokok yang tumbang dalam satu kejadian di kawasan Air Terjun Jangkar di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.25 tengah hari itu, mangsa, Putra Fai’z Imtiyaz Benyamin, 16, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman yang diadakan.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 12.30 tengah hari.


Katanya, sejurus menerima maklumat berhubung insiden tersebut, sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Berdasarkan maklumat diterima, mangsa dikatakan datang ke kawasan tersebut bersama bapanya yang juga jurupandu arah untuk ke tempat perkelahan tersebut.

“Semasa kejadian mangsa dikatakan sedang duduk seorang diri di atas batu, namun secara tiba-tiba tanah yang berada di belakangnya susur lalu mengakibatkan pokok di atas bukit tersebut dan menghempap mangsa,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, sebelum pasukan bomba tiba, orang awam yang berada di tempat kejadian telah berusaha membantu mengalihkan pokok itu dan mengeluarkan mangsa.

Katanya, pada masa yang sama salah seorang rombongan perkelahan tersebut adalah seorang doktor.

“Doktor itu telah membuat pemeriksaan awal ke atas mangsa, namun mangsa tidak dapat diselamatkan akibat kecederaan dalaman yang teruk.

“Beliau (doktor) terbabit kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal di tempat kejadian,” ujarnya.

Sambil menambah, pasukan bomba berjaya membawa mangsa keluar dari kawasan tersebut dan menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya apabila polis membawa mayat mangsa ke Hospital Lundu pada pukul 5.10 petang,” katanya. — DayakDaily