Uji bakat peserta Miss & Mrs Kebaya Malaysia 2018 Sarawak diadakan Sept 23

Tee (duduk tiga dari kanan) bersama wakil penaja Miss & Mrs Kebaya Malaysia 2018 dan peserta pertandingan itu dua tahun lepas pada sidang media pertandingan terbabit di Hotel UCSI, Sejingkat di Kuching.

KUCHING, Sept 10: Pertubuhan Pembangunan Kepimpinan dan Ekonomi Kuching (PPKEK) mempelawa gadis dan wanita di negeri ini tanpa mengira bangsa dan agama untuk menyertai pertandingan Miss & Mrs Kebaya Malaysia 2018 Peringkat Negeri Sarawak anjurannya.

Setiausaha PPKEK, Dayne Tee Sing Chee berkata uji bakat pemilihan peserta pertandingan terbabit akan diadakan di AEON Mall, di sini, Sept 23 depan dari jam 2 petang hingga 5 petang.

“Uji bakat terbabit terbuka kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama dengan kategori Miss Kebaya bagi yang belum berkahwin berumur 18 hingga 35 tahun manakala kategori Mrs Kebaya bagi sudah berkahwin berumur 25 hingga 50 tahun,” katanya pada sidang media pertandingan itu di Hotel UCSI, Sejingkat, di sini, hari ini.


Tee berkata peserta juga perlu mempunyai ketinggian 160 sentimeter (cm) keatas dengan uji bakat terbabit akan memilih seramai 12 peserta bagi bertanding dalam kategori Miss Kebaya dan 12 peserta bagi bertanding dalam kategori Mrs Kebaya.

Katanya, selepas itu kesemua 24 peserta terpilih terbabit akan menjalani latihan dan kursus sebelum bertanding peringkat akhir dalam majlis makan malam gala kebajikan pada November depan di satu tempat yang belum ditentukan lagi.

“Ini merupakan kali kedua kami (PPKEK) menganjurkan pertandingan Miss & Mrs Kebaya Malaysia 2018 Peringkat Negeri Sarawak dengan kali pertama pada 2016. Pertandingan bertujuan mengekalkan pemakaian kebaya sebagai warisan kebangsaan kita, walaupun kebaya asalnya dari komuniti Melayu tetapi kini di Malaysia ianya dipakaikan semua bangsa,” katanya.

Peserta yang menjuarai Miss & Mrs Kebaya Malaysia 2018 Peringkat Negeri Sarawak akan menerima hadiah wang tunai RM5,000 manakala tempat kedua akan menerima RM3,000 serta tempat ketiga akan menerima RM1,500.

Pertandingan terbabit juga menawarkan peserta gelaran sampingan iaitu, Miss Favorite, Miss Talent, Best Dress, Miss Beautiful Smile, Miss Body Beautiful, Miss Inteligent, Miss Fitness, Miss Photogenic, Miss Best Catwalk, Miss Congeniality dan Miss Natural Beauty.

Gadis dan wanita di negeri ini yang berminat menyertai pertandingan itu hendaklah mengesahkan penyertaan mereka ke ujibakat itu sebelum tarikh tutup penyertaannya Sept 17 depan dan menghadiri sesi itu memakai baju-T putih, seluar jeans hitam atau biru tua, kasut tinggi minimum empat inci dan boleh memakai tudung bagi yang Muslim.

Peserta juga perlu membawa dua gambar 4R yang keduanya dicetak pada kertas saiz A4 dengan satu gambar ‘close up’ dan satu lagi keseluruhan tubuh, salinan kad pengenalan Malaysia serta RM100 yuran pendaftaran dengan mereka boleh menghubungi Nana di 016-8891858 dan Dayne di 013-8023235 bagi mengesahkan penyertaan. — DayakDaily