Remaja lelaki maut dalam nahas motosikal

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal di Jalan Main Bazaar, Kuching.

KUCHING, Ogos 23: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu merempuh bangunan Pejabat Pos Kuching di Jalan Main Bazaar di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah malam itu, mangsa, Mohamad Amirul Syukry Mohamad Zoolnasri, 15, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian itu, mangsa yang tidak mempunyai lesen memandu dikatakan dalam perjalanan ke arah Padang Merdeka dari Jalan Main Bazaar.


Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Modenas Kriss yang ditunggangnya tiba-tiba terbabas lalu melanggar bangunan Pejabat Pos Kuching yang terletak di bahu jalan berkenaan.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah.

“Orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, siasatan awal mendapati kemalangan itu tidak melibatkan kenderaan lain.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily