Kanak-kanak 2 tahun maut, dua lagi parah selepas Toyota Hilux jatuh gaung

Petugas perubatan dan bomba membantu mangsa yang cedera.

BETONG, Ogos 23: Malang menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun apabila dia terkorban selepas kenderaan Toyota Hilux yang dinaikinya terjatuh ke dalam gaung di kawasan Sungai Babu, Debak KM81-Jalan Betong-Sarikei di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu menyebabkan mangsa, Airelyn Acelin Kyla disahkan meninggal dunia semasa dia sedang mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Betong.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, SUPT Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian sama, seorang lelaki iaitu pemandu Toyota Hilux dan wanita iaitu ibu kepada mangsa juga dilaporkan cedera parah.


Katanya, kedua-dua mangsa yang cedera parah itu masing-masing berusia 35 dan 31 tahun.

“Siasatan awal mendapati sebelum kejadian itu, mereka dikatakan dalam perjalanan dari Betong menuju ke Sarikei.

“Bagaimanapun, apabila tiba di tempat kemalangan, Toyota Hilux yang dipandu Mohd Khairuddin Harun dikatakan hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh ke dalam gaung,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, kejadian itu telah mengakibatkan ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah.

Bagaimanapun katanya, kanak-kanak malang terbabit disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

“Cuaca semasa kejadian adalah baik dan permukaan jalan raya rata serta kering.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily