Remaja lelaki maut dalam kemalangan babitkan teler dan motosikal

Kelihatan kemalangan melibatkan sebuah treler dan motosikal di KM2, Jalan Tatau-Bintulu.
Advertisement

TATAU, Ogos 8: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah treler di KM2, Jalan Tatau-Bintulu di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 9.22 malam itu mengakibatkan mangsa, Richard Eli Zi Cheng, 15, meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, SUPT Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Bintulu ke Tatau di sini.

Advertisement

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kemalangan, motosikal mangsa dikatakan secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler yang kebetulan bergerak di laluan itu.

“Impak pertembungan itu telah mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan terjatuh ke atas jalan raya.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang tiba selepas kejadian itu,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson menambah, pemandu treler yang berusia 32 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pihak polis sudah merakamkan percakapan pemandu lelaki tersebut bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke rumah mayat di Hospital Bintulu untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement