Remaja lelaki disyaki curi motorsikal ditahan polis

Suspek (barisan hadapan, empat dari kiri) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.Turut ditemui semasa tangkapan tersebut adalah sebuah motorsikal dipercayai milik mangsa.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 8 Nov: Polis semalam menahan seorang remaja lelaki kerana disyaki terlibat mencuri sebuah motorsikal di sebuah unit quadruplex Bandar Baru Permyjaya di sini.

Tangkapan dilakukan kurang 24 jam selepas pemilik motorsikal jenis Yamaha 135LC itu tampil membuat laporan sebaik menyedari kehilangan kenderaan tersebut pada awal pagi semalam sekitar jam 4.

Difahamkan, motorsikal tersebut baru sahaja dibeli tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Menurutnya, remaja berusia 18 tahun itu telah ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ)Miri pada jam 11 malam Ahad (7 Nov) susulan maklumat risikan yang diterima.

Tangkapan dibuat tidak jauh dari unit kediaman pemilik motorsikal tersebut.

Turut ditemui semasa suspek ditahan ialah sebuah motorsikal dipercayai milik mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut. ā€” DayakDaily