Oleh Dean Adam
SIBU, Jan 4: Seorang remaja lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam sungai di Jeti Ekspres Sibu di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.25 tengah hari itu, identiti mangsa masih belum diketahui.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada pukul 12.29 tengah hari.
Jelasnya, berdasarkan laporan diterima, sebelum itu mangsa yang menggunakan baju dan seluar berwarna hitam dikatakan berdiri di belakang sebuah bot ekspres di situ.
“Namun, mangsa dipercayai secara tiba-tiba telah bertindak terjun ke dalam sungai.
“Orang awam yang kebetulan berada di situ kemudian melihat mangsa dalam keadaan terkapai-kapai sebelum tenggelam dihanyutkan arus sungai deras,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, sepasukan enam anggota bomba telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.
Katanya, pasukan bomba telah melakukan pencarian awal di sekitar kawasan tebing sungai menggunakan teknik pencarian di permukaan sungai dengan radius pencarian sekitar dua kilometer ke hilir sungai.
“Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat itu ditangguhkan pada pukul 4.30 petang akibat hujan lebat.
“Operasi sama akan disambung semula keesokan hari,” ujarnya lagi. — DayakDaily