Remaja hilang di Sungai Bakong masih belum ditemui

Kelihatan anggota Bomba yang terlibat dalam operasi SAR tersebut.

MARADONG, 29 Jun: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja lelaki hilang dikhuatiri lemas di Sungai Bakong, Jalan KJD, di sini ditangguhkan dan akan disambung esok.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata operasi terpaksa ditangguh berikutkan faktor keselamatan dan keadaan semakin gelap menyukarkan operasi.

Jelasnya operasi SAR akan disambung esok dengan kawasan pencarian akan diperluaskan lagi.


“Setakat jam 7 malam tadi, komander operasi melaporkan pasukan mencari dan menyelamat belum menemui sebarang petunjuk untuk penemuan mangsa.

“Radius pencarian (hari ini) lebih kurang 20 meter daripada lokasi mangsa dipercayai lemas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa berusia 17 tahun dikatakan mandi bersama rakan-rakannya dan semasa aktiviti tersebut, mangsa didapati lemas dan rakan-rakannya berusaha menyelamat tetapi gagal.

“Setengah jam kemudian rakannya memaklumkan kejadian tersebut kepada bapa mangsa untuk mohon bantuan khidmat Bomba,” katanya lagi.

Bomba hanya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 3.45 petang dan anggota dari Balai Bomba Bintangor diketuai Mohmaf Mahmud terus ke lokasi kejadian untuk operasi SAR. — DayakDaily