Remaja ditangkap di Bau disyaki terlibat judi dalam talian

PDRM logo

BAU, 24 Julai: Seorang remaja perempuan dari Tebakang, Serian disyaki ejen judi dalam talian ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau semalam.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek ditangkap di pondok perhentian bas di Kampung Sibuluh di Jalan Bau-Kuching sekitar jam 5.30 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek mengesyaki dia menjalankan kegiatan penjualan judi dalam talian.


“Suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Turut dirampas daripada suspek ialah telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian tersebut boleh terus laporkan kepada pihak polis. — DayakDaily