Remaja bersalin dalam asrama sekolah, pasangan turut ditahan

Suspek (tengah) ditahan pihak polis awal pagi Ahad (20 Feb 2022) untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 21 Feb: Seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun ditahan pihak polis pada pagi Ahad (20 Feb) kerana dipercayai cuba menyembunyikan kelahiran dengan menanam janin bayi yang dilahirkan teman wanitanya di kawasan berhampiran rumahnya sendiri di Kampung Bukit Jagus Lambir.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek lelaki terbabit ditangkap sekitar jam 3.30 pagi semalam di sebuah rumah panjang di Long Lama.


Pada hari yang sama, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah bergegas ke lokasi tempat janin tersebut dipercayai ditanam di Lambir.

“Janin tersebut ditemui dalam keadaan reput,” Hakemal berkata.

Siasatan awal mendapati, suspek wanita yang berusia 19 tahun itu telah melahirkan bayi tersebut sekitar satu minggu yang lalu di asrama sekolahnya di sini.

Janin terbabit dipercayai telah diserahkan kepada suspek lelaki tersebut sehari selepas dilahirkan.

“Remaja perempuan yang masih bersekolah itu telah ditemui dalam keadaan lemah dan mengalami pendarahan yang serious oleh gurunya yang kemudiannya membawa beliau ke Hospital Miri untuk pemeriksaan lanjut,” ujar Hakemal.

Satu laporan polis telah dibuat untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. — DayakDaily