Gempar jumpa janin bayi di tempat pembuangan sampah

Kelihatan satu janin bayi lelaki yang ditemui di tempat pembuangan sampah.

BINTULU, April 18: Penduduk di bandar ini gempar dengan penemuan satu janin bayi lelaki di tempat pembuangan sampah di Jalan Tun Ahmad Zaidi di sini semalam.

Janin bayi malang itu ditemui oleh para pekerja longgokan sampah yang sedang melakukan kerja-kerja rutin di situ.

Panik melihat dengan penemuan tersebut, pekerja di situ kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan satu janin bayi lelaki di tempat pembuangan sampah berkenaan.

Katanya, janin bayi tersebut kemudian dihantar ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.

“Buat masa ini, polis masih menyiasat individu yang bertindak membuang janin bayi di situ.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran,” ujarnya lagi. — DayakDaily