Remaja 14 tahun disyaki liwat kanak-kanak lelaki diberkas

Suspek ditahan oleh anggota polis.

Oleh Dean Adam

SERIAN, Julai 25: Seorang remaja lelaki diberkas selepas disyaki meliwat seorang kanak-kanak berusia 6 tahun di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serian, DSP Aswandy Anis berkata, suspek berusia 14 tahun diberkas oleh polis selepas menerima laporan daripada ibu mangsa.


Katanya, berdasarkan laporan diterima, kanak-kanak lelaki itu telah dipanggil oleh suspek masuk ke dalam rumahnya di Kampung Hilir Serian di sini kira-kira pukul 10 pagi.

“Suspek yang tidak bersekolah itu kemudian bertindak memasukkan kemaluannya ke dalam dubur mangsa.

“Mangsa yang mengadu kesakitan selepas diperlakukan oleh suspek kemudian memberitahu ibunya mengenai kejadian itu,” katanya di sini hari ini.

Aswandy menambah, mangsa dalam keadaan takut serta kesakitan dan telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan dan pemeriksaan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dan mangsa hanya kenalan dan tiada hubungan persaudaraan.

“Kejadian itu berlaku di rumah pengadu ketika dia tiada di rumah.

“Suspek akan ditahan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii sama ada melalui mulut atau dubur, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan sebat,” katanya. — DayakDaily