Rangka manusia ditemui di sebuah rumah kedai di Malihah, Matang

Rangka manusia itu dimasukkan ke dalam kenderaan polis untuk dihantar ke HUS.

KUCHING, 10 Feb: Penemuan rangka manusia di sebuah rumah kedai di Malihah Central di sini, dipercayai adalah seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata identiti mangsa dikenalpasti berdasarkan penemuan beberapa barang peribadi milik mangsa di lokasi kejadian.

Katanya, rangka manusia tersebut ditemui oleh pekerja yang melakukan penyelanggaraan bangunan tersebut sekitar jam 11 pagi semalam.


“Rangka manusia tersebut dijumpai oleh seorang pekerja yang membuat kerja-kerja penyelenggaraan dan pintu terpaksa dipecahkan kerana berkunci dari dalam.

“Barang-barang kepunyaan mangsa juga masih ada di tempat kejadian iaitu kad pengenalan, telefon bimbit, wang tunai, beg dan pakaian,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya juga, semakan rekod mendapati mangsa dilaporkan hilang oleh ibunya sejak 15 Nov tahun lepas.

“Menurut ibunya, mangsa tidak berminat tinggal dengan keluarga serta ingin berdikari dan mencari kerja sendiri,” katanya.

Siasatan di lokasi kejadian juga mendapati tiada unsur jenayah.

“Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengesahkan mangsa telah meninggal dunia lebih dari dua minggu dari tarikh dijumpai,” katanya.

Rangka mayat mangsa dikenali sebagai Chrissie Hynde Thompson Jamban, 28 dari Taman Alamanda Indah, Jalan Belatok itu kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat. — DayakDaily