Kg Gayu di Padawan dilanda curahan ‘Mata Air Gunung’

Keadaan di kampung tersebut.

PADAWAN, 10 Feb: Kampung Gayu, di sini dilanda banjir susulan fenomena ‘Mata Air Gunung’ sehingga menyebabkan dua rumah dinaiki air dan jambatan utama kampung tengelam malam tadi.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak kejadian dilaporkan berlaku pada jam 8.51 malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan terus ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemantauan.


“Komander operasi melaporkan berlaku banjir disebabkan curahan mata air gunung yang menyebabkan dua rumah dinaiki air setinggi dua kaki dan jambatan ke kampung ditenggelami air berserta lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanpun, difahamkan keadaan banjir telah surut sepenuhnya dan hujan juga telah berhenti semasa pemantauan dilakukan di lokasi kejadian.

Kejadian tersebut tidak mengakibatkan sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa. — DayakDaily