Rang Undang-Undang Warisan 2019 diluluskan DUN

Abdul Karim pada pembentangan Rang Undang-Undang Warisan 2019 di Dewan Undangan Negeri.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Nov 5: Rang Undang-Undang (RUU) Warisan 2019 diluluskan dengan sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

RUU itu dibentangkan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan mendapat sokongan dewan setelah dibahaskan oleh 20 ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.


Abdul Karim ketika pembentangan RUU tersebut berkata sudah tepat pada masanya Sarawak memiliki undang-undang yang komprehensif untuk memulihara, memelihara dan menguruskan aset warisan dengan efisen.

“Pemuliharaan dan pengurusan warisan telah diperincikan dengan menyeluruh dalam undang-undang ini.

“Kita mesti ada sistem pengurusan warisan yang terkini dan mudah untuk dilaksanakan.

“Ini bukan sahaja untuk tujuan pemeliharaan, tetapi juga untuk mewujudkan kesedaran berhubung kepentingan penjagaan warisan,” katanya yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Abdul Karim(tengah) pada sidang media selepas Ordinan Warisan 2019 diluluskan DUN.

Menurut Abdul Karim lagi, RUU yang juga dikenali sebagai Ordinan Warisan 2019 mengandungi empat eleman iaitu pentadbiran, tugas dan tanggungjawab pengarah, warisan di dasar perairan dan penguatkuasaan.

Katanya, semua empat elemen ini tidak disenaraikan didalam Ordinan Warisan Budaya Sarawak 1993.

“Kemasukan empat elemen ini dan bahagian yang baharu akan meluaskan skop warisan dan menyediakan rangka kerja jelas prihal kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan warisan,” katanya.

Beliau berkata, melalui RUU itu akan diwujudkan sebuah badan yang dikenali sebagai Majlis Warisan Sarawak.

Majlis itu berperanan memberi nasihat kepada kerajaan berhubung polisi yang berkaitan, strategi atau pelan tindakan yang harus diambil dalam pengurusan dan pentadbiran warisan di Sarawak.

Tambah beliau, Tabung Warisan Sarawak juga akan ditubuhkan untuk membantu pemilik melakukan kerja pemuliharaan dan pemeliharaan terhadap bangunan warisan atau monumen bersejarah.

Dalam pada itu, Abdul Karim pada satu sidang media berkata, RUU akan menggantikan undang-undang terdahulu iaitu Ordinan Warisan Budaya Sarawak 1993.

Katanya, ia akan memantapkan peruntukan yang berkaitan pengurusan dan pemuliharaan warisan negeri.

“Dengan kelulusan undang-undang ini, sekurang-kurangnya kita boleh mengawal selia beberapa perkara samada di dasar perairan dan pengurusan muzium,” ujar Abdul Karim. — DayakDaily